28.2.10

IKHLAS SIFAT MULIA PENYELAMAT DIRI

SALAH satu sifat yang harus ada pada diri kita dalam kehidupan sehari-hari ialah sifat ikhlas termasuk ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat dan mengikut perintah-perintah Allah

Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan setiap muslim diterima Allah atau sebaliknya. Ini bermakna keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan muslim di dunia dan akhirat.
Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat 2 yang tafsirnya:
"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya."
Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrah itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu."
Agama Islam adalah agama yang amat unik di mana
setiap gerak-geri dan perlakuan harian penganutnya dianggap sebagai ibadat. Setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah. Oleh itu selama mana seseorang muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh tulus keikhlasan, maka selama itulah segala tingkah laku perbuatan dan percakapannya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah. Kita hendaklah menjauhi sifat-sifat yang buruk yang boleh menghakis sifat keikhlasan seperti riyak, ujub dan sombong.
Ini kerana Rasulullah Sallallahu
Alaihi pernah mengingatkan kepada umat Islam bahawa sifat riyak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.
Jadi hendaklah kita menghiaskan diri dengan sifat mulia dan ikhlas bukan saja dalam kehidupan kita sendiri, juga akan dapat membantu memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia. Orang-orang yang ikhlas akan mendapat kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah.
Dapatlah kita simpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah di mana ia menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman muslim kepada Allah. Sesungguhnya sifat ikhlas penting disemai dan dibajai dalam hati setiap muslim di dalam melaksanakan ibadat seperti sembahyang, puasa, sedekah dan haji serta segala niat yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran pahala.
Dengan menjadikan ikhlas sebagai amalan hidup kita, barulah hati akan bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah. Harta dan kemewahan dunia tidak setanding dan bererti melainkan hati yang ikhlas seperti sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment