1.3.10

AJARAN SESAT DI MALAYSIA

Ajaran sesat bukanlah perkara baru yang berlaku di Malaysia, sebaliknya telah mula menular sejak di awal kedatangan agama Islam di rantau ini. Isu ajaran sesat mula mendapat perhatian dengan munculnya ajaran Ayah Pin di Terengganu yang mengaku dirinya memiliki kuasa seperti Tuhan, jelmaan semua Nabi dan menjadi dewa bagi semua agama serta memiliki ramai pengikut. Malah, ada pengikut ajaran sesat ini terdiri di kalangan profesional yang dianggap bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Ekoran pengetahuan agama yang cetek, ramai orang mudah terpengaruh dengan ajaran sesat ini. Namun, pada hakikatnya individu yang menjadi dalang di sebalik ajaran sesat ini mempunyai motif tersendiri untuk kepentingan dirinya semata-mata.

Definisi ajaran sesat
Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, orang-orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha mempelajarinya atau orang yang berpengalaman agama yang tidak betul kerana dipelajari dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.
Sejarah ajaran sesat di Malaysia
Ajaran sesat mula bertapak sejak awal kedatangan agama Islam di Semenanjung Malaysia pada abad ke 15 yang bergerak secara senyap. Terdapat beberapa bentuk ajaran sesat seperti :
• Animisma.
• Dinamisma.
• Ajaran Hindu-Budha.
• Sabaiyyah.
• Kaysaniyyah.
• Syiah Ismailiyyah.
• Aliran teosofi.
Ajaran sesat yang paling lama di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Haji Ahmad Matahari pada sekitar tahun 1870an di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ajaran ini telah berkembang ke negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Di Kelantan pula wujud ajaran sesat yang dikenali dengan ajaran Subud dan ajaran Martabat Tujuh yang disebarkan sekitar tahun 1950an. Ajaran Martabat Tujuh dipercayai masih aktif di Kelantan dan beberapa negeri lain sehingga ke hari ini.

Ekoran daripada amalan ajaran sesat yang semakin berleluasa, beberapa peristiwa telah berlaku yang menggugat ketenteraman dan keselamatan awam seperti :
• Seorang ahli kumpulan ajaran sesat Empat Sahabat di Kampung Kedap, Rantau Panjang, Kelantan telah ditembak mati dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 19 Oktober 1974.
• Tajul Ariffin yang mengaku dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam masjid Rapat Setia, Ipoh, Perak iaitu Haji Damanhuri bin Haji Abd. Wahab yang berusia 68 tahun pada 7 Julai 1979.
• Pada 16 Oktober 1980, lapan orang ahli kumpulan ajaran sesat yang dipimpin oleh Ahmad Nasir bin Ismail telah terbunuh dalam peristiwa serangan di Balai Polis Batu Pahat, Johor. Beberapa anggota polis dan orang awam turut cedera dalam peristiwa tersebut.
• Dua orang lelaki Indonesia yang menyebarkan ajaran sesat di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah cedera ditembak selepas mengamuk di Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu pada 1 Februari 1996.
• Pada 18 Mac 1996, pengikut ajaran sesat Tabarani telah bertindak keterlaluan dengan memukul Ketua Kampung Pandan Satu, Kuantan, Pahang kerana didakwa menghalang kegiatan mereka.
Ciri-ciri ajaran sesat
• Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya dan mendakwa menerima wahyu.
• Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi (ajaran sesat Qadyani, Bahai, Empat Sahabat, Nasir dan Mufarridiah).
• Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.
• Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja yang dijamin masuk syurga.
• Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.
• Mempercayai bahawa gurunya boleh menebus dosa dengan wang.
• Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
• Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru.
• Memohon kepada objek tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.
• Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang soleh atau anak hakikat.
• Mengaku Allah menjelma dalam diri.
• Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.
• Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamalkan diperolehi terus daripada Rasulullah s.a.w. secara yaqazah (jaga).
• Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan mendakwa akan masuk ke syurga.
• Memansuhkan syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru atau menganggap setelah sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.
• Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.
• Mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain.
• Mengubah dengan sengaja ayat al-Quran dan maksudnya.
• Mengakui dan mempercayai bahawa tangkal boleh memberi kesan.
• Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan tidak sampai kepada matlamat sebenar.

Teknik penyebar ajaran sesat memikat pengikut
• Perhati
Penyebar mesti pandai dan memahami hati serta pendirian orang yang dipikat. Mangsa selalunya seorang yang warak dan kuat mengerjakan amal ibadat. Penyebar ajaran sesat akan berpura-pura lebih kuat beragama dan beribadat daripada mangsa.
• Beramah mesra
Penyebar cuba mencari jalan untuk mendampingi dan mendekati orang yang hendak dipengaruhinya. Misalnya, penyebar akan meminta bermalam di rumah orang berkenaan dengan tujuan mengadakan majlis membaca al-Quran dan dalam syarahannya akan diselitkan keburukan ulama lain.
• Mencetus keraguan
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang fardu dan sunat dengan tekun dan tidak berhenti-henti, mereka akan menimbulkan pertanyaan apakah hikmah dan tujuan bersembahyang.
• Gantung tidak bertali
Setelah tujuan penyebar berjaya menimbulkan keraguan dalam pemikiran seseorang dan orang yang dipikat benar-benar berminat untuk mengetahui pelbagai rahsia seperti rahsia di sebalik huruf awal surah, sembahyang dan puasa, penyebar seringkali bersikap ‘pura-pura jual mahal’. Jika didesak penyebar akan meminta mangsa bersabar, banyak mengerjakan sembahyang dan amal ibadat.
• Ikat
Selepas diberitahu rahsia, mangsa diminta bersumpah tidak membocorkan rahsia. Mangsa ‘diikat lidah’ agar tidak membocorkan ilmu atau rahsia buat selama-lamanya.

• Kesamaran
Penyebar ajaran sesat selalunya mengeluarkan kata-kata yang ‘berat dan kabur’. Contohnya, “manusia itu ada bermacam pendapat, bertentangan antara satu sama lain. Masing-masing mengatakan pihaknya betul. Tetapi kita dengan mengenal diri, maka mengenal Allah dan Allah tidak menyembunyikan kebenaran, manakala orang lain berada dalam keadaan meraba-raba”.

Mangsa ajaran sesat
• Mereka yang jahil dan kosong jiwa kerana tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup. Mereka turut didorong oleh kawan supaya berguru menerusi orang tertentu yang mengajar secara rahsia dan sulit.
• Mereka yang ghairah mencari ketenangan jiwa dan kesempurnaan terutama menerusi unsur kerohanian dengan cara jalan singkat tanpa ikut sunnah.
• Golongan yang menyeleweng dalam hal yang berhubung usul. Ini berlaku kerana kurang kemantapan dalam usul syariah dan tunjangan serta pengetahuan yang lemah dalam shaddik dan ikhlas. Mereka mendakwa diri hampir dengan Allah dan berada di makam tertinggi.

Ancaman ajaran sesat kepada umat Islam dan negara
• Mencela ulama dan fuqaha
Kebanyakan penganjur ajaran sesat mendakwa diri dan pengikutnya sebagai manusia yang mengetahui segala ilmu hakikat dan telah mencapai ke maqam yang tinggi serta menolak syariat. Mereka meletakkan taraf ulama kepada dua iaitu ulama zahir dan batin. Ulama zahir dianggap hanya mengetahui perkara-perkara zahir seperti ulama pada hari ini sedangkan diri mereka diletakkan taraf yang lebih tinggi dan mulia kerana mengetahui rahsia batin dan ilmu hakikat.

• Membuat takwilan dalam agama
Guru ajaran sesat berani melakukan takwilan-takwilan terhadap ayat-ayat al-Quran dan Hadis dengan membuat huraian-huraian tanpa asas syarie. Mereka terpengaruh dengan ajaran batiniah dan menggunakan doktrin batin dan takwil dalam menghuraikan konsep wujudiah. Hal ini dapat dilihat dalam bentuk takwil terhadap kalimah-kalimah atau lafaz-lafaz yang berkaitan dengan ibadah seperti angka dan pandangan huruf.

• Kepentingan peribadi dan seks
Kebanyakan ajaran sesat ini mempunyai motif dan kepentingan peribadi kepada gurunya seperti kepentingan terhadap kedudukan, pangkat, kebendaan dan seks bebas dengan mengamalkan nikah batin. Nikah batin ialah nikah yang dijalankan secara rahsia yang boleh berlaku sama ada antara guru dengan pengikutnya atau sesama di kalangan pengikutnya yang tidak terikat dengan hukum syarak.

• Ingin melemahkan perpaduan dan menghancurkan agama Islam melalui gerakan rahsia
Sejak zaman Rasulullah lagi, terdapat golongan yang ingin merosakkan agama Islam secara halus tetapi menemui kegagalan. Namun, ketika zaman Khalifah Umaiyyah dan zaman selepasnya, pelbagai penyelewengan akidah dan syariah telah berlaku. Golongan tertentu telah menyelewengkan hukum dan syariat Islam seperti ajaran Crypto Mokhtar Hassan yang menafikan al-Quran, membatalkan sembahyang dan ibadat lain dan ajaran Tajalli atau Hakikat Insan Ahmad Laksamana yang memperkecil-kecilkan ulama syariat.
• Untuk memecah belahkan perpaduan dan persaudaraan umat Islam
Fahaman Syiah mula tumbuh pada tahun 36H yang diamalkan di Iran, Lubnan dan Pakistan telah menimbulkan banyak masalah kepada dunia Islam.

• Untuk menguji sejauh mana kefahaman dan ketaatan umat Islam terhadap agamanya
Apabila mereka berjaya dengan motif tersebut, ini memudahkan agama Islam dan umatnya dihancurkan dan diganti dengan ideologi dan sistem asing.

Ajaran sesat Ayah Pin
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 telah mengeluarkan Fatwa berikut yang diwartakan pada 4 Disember 1997.
• Bahawasanya ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.
• Oleh yang demikian orang ramai di negeri ini hendaklah menghindar diri daripada terlibat dengan pegangan dan ajaran Ayah Pin tersebut.

Di antara fakta penting yang berkaitan dengan ajaran Ayah Pin ialah :
• Beliau mengaku tidak belajar agama.
• Beliau berpegang kepada ajaran yang salah serta bertentangan dengan Syara’.
• Beliau pernah menyatakan bahawa “tidak ada orang lain selain saya dan Nabi Muhammad s.a.w. yang berguru dengan Jibril”. Dakwaan ini salah dan palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam dan menghina Syara’.
• Beliau mengaku ajaran dan pegangannya adalah sesat serta bertentangan dengan hukum Syara’.
• Mesti jumpa Allah dan Rasul dahulu baru boleh percaya.
• Nabi Muhammad mencantumkan kitab Zabur, Taurat dan Injil untuk dijadikan al-Quran.
• Bongkar al-Quran dahulu baru boleh percaya kepada malaikat dan sifat dua puluh.
• Setiap kali sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan.
• Al-Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin.
• Mendakwa beliau telah melalui semua agama-agama barulah jadi Islam dan menerima syahadah secara langsung dengan Tuhan.
• Beliau mendakwa di atas muka bumi ini tiada orang lain yang memimpin manusia melainkan Ayah Pin seorang.
• Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segala kunci-kunci akhirat.
• Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdal daripada berzikir dan bersembahyang.
• Semasa mengucap dua kalimah syahadah hendaklah beriktikad dalam hati kepada Ayah Pin.
• Jika ada ahli yang akan mati, Ayah Pin akan pergi mendahului untuk menentukan bagi si mati syurga atau neraka.
• Setiap kali berhimpun di Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan, sebiji al-Quran akan dibakar dan abunya akan dilumur pada tubuh Ayah Pin.
• Sesuatu perkara mesti dilihat dahulu baru boleh dipercayai. Dalam Rukun Iman, Ayah Pin mengaku :
o Percaya kepada Allah ialah dengan kita kenal atau cam dia.
o Beriman kepada Rasul ialah dengan cara berjumpa dengan Rasul-Rasul.
o Kitab al-Quran adalah cantuman daripada empat kitab.
o Malaikat dijadikan daripada Nur Muhammad dan malaikat seperti manusia.
o Ayah Pin tidak percaya adanya langit dan bumi digulung atau dihancurkan pada hari kiamat sebab belum berjumpa lagi.
o Pegangan Ayah Pin ialah setelah dia buat semua, dapatlah Qada’ dan Qadar masing-masing bahagian.





Jadual 1 : Senarai ajaran sesat yang telah diwartakan

Bil. Ajaran sesat yang diwartakan
1 Narul Haq
2 Budi Suci
3 Al-Watan
4 Budi Suci Sejati
5 Jawa Faradin
6 Silat Sunda Pukulan Ghaib
7 Tusuk Hikmat
8 Ilmu Kebatinan
9 Potong Maya
10 Naluri
11 Kaula
12 Haqqullah Syahadah
13 Rampai
14 Wali Suci
15 Kalimat Sakti
16 Silat Pukulan Jarak Jauh
17 Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18 Zikir Sha’ban Islam Haq
19 Asal Wujud Garis Laksamana
20 Al-Ma’zat
21 Trancendentel Meditation – Maharisi Mahish Yugi
22 Ilmu kebatinan
23 Abdul Manan bin Harun – tolak hadis
24 Ilmu mentauhidkan Allah oleh nasrun S. T. Qahar
25 Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26 Kuasa ghaib (tahan diri)
27 Mohd Nordin Putih
28 Nasrun S. T. Qahar
29 Roslan Katimun atau ajaran Wali Sembilan
30 Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31 Wali Sembilan
32 Khatijah binti Ali atau Puan Tijah
33 Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34 Ajaran Mohd Seman al-Banjari
35 Al-Arqam
36 Golongan anti hadis
37 Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali sebagai Hj. Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38 Syiah
39 Ajaran Hj. Ghazali Othman, Hulu kelang
40 Ajaran Hj. Kadar Ahmad
41 Ajaran ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42 Ajaran ilmu Hakikat atau Jahar Dumin Hulu Langat
43 Tarikat Mufaridiah
44 Ajaran Hassan Anak Rimau
45 Tarikat Aurad Ismailiah
46 Ajaran Martabat Tujuh
47 Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48 Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh)
49 Ajaran ilmu hakikat Hassan bin Jonit
50 Ajaran Ahmadiah/Qadani
51 Ajaran Mohd Nor Seman
52 Ajaran Ayah Pin
53 Ajaran Bahai
54 Al-Ma’unah
55 Ajaran Azhar Wahab
56 Ajaran Hj. Banuar

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Penutup
Aktiviti ajaran sesat ini perlu dibendung dan diberi perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengekang perkara ini daripada terus berleluasa. Sekiranya dibiarkan, ianya boleh merosakkan akidah masyarakat Islam dan menghancurkan agama Islam. Ada pihak yang mencadangkan agar diwujudkan Undang-Undang Murtad bagi membolehkan orang Islam yang mengaku keluar daripada agama Islam dikenakan tindakan. Penyeragaman Undang-Undang Syariah juga perlu diberi perhatian bagi memudahkan proses mengambil tindakan terhadap kumpulan ajaran sesat di Malaysia.






Sumber maklumat :

Berita Harian
http://www.islam.gov.my www.tips-fb.com

2 comments: