BERFIKIR adalah aktiviti akal yang berlaku secara teratur dan sistematik. Proses berfikir mengungkap maklumat, data, pengetahuan, ilmu dan mencetuskan pemikiran. Berfikir juga mempertajam persepsi akal daripada apa yang dilihat, dikaji, dialami dan juga dihayati.
Ada orang berfikir kerana berfikir itu suatu rutin. Dalam tradisi Islam ada sebab mengapa seseorang itu berfikir. Dia tidak saja berfikir kerana maksud berfikir tetapi berfikir membimbingnya kepada kebenaran. Asas inilah yang menjadikan persepsi akal menjadi lebih bermakna.
Persepsi akal yang hanya bergantung kepada andaian tidak cukup untuk mendapatkan jawapan yang benar. Sesuatu yang sifatnya zahir belum cukup untuk memberikan gambaran yang tepat mengenai sesuatu. Ada faktor batin yang perlu diambil kira supaya persepsi mengenai perlakuan manusia dapat difahami dengan baik.
Dalam hidup remaja banyak terdapat persepsi yang akhirnya membawa kepada ilusi atau kecelaruan. Persepsi remaja tentang hidup muda mudah terpengaruh dengan ukuran yang sifatnya nafsu-nafsi. Sesetengah mengatakan bahawa muda hanya sekali. Lalu mereka menghabiskan usia hidupnya melalui jalan berpoya-poya. Persepsi remaja tentang hiburan melihat sesuatu yang popular dan kontemporari sebagai landasan bernilai. Lalu nilai-nilai hiburan yang dilandasi oleh nilai dan etika murni dianggap ketinggalan zaman.
Persepsi remaja tentang kemajuan sering mengambil Barat sebagai ukurannya. Lalu apa saja yang datang dari Barat menimbulkan persepsi maju dan berubah. Tradisi sendiri diremehkan sebagai ketinggalan zaman dan tidak berdaya maju. Persepsi sesetengah remaja tentang dunia dilihat sebagai segala-gala. Makna kebahagiaan, keseronokan, ghairah hidup, keceriaan hanya sekali saja iaitu di dunia. Perspektif akhirat mungkin belum ada atau tidak ada pada persepsinya.
Mengapa sebahagian para remaja memiliki persepsi bahawa merokok adalah lambang kedewasaan? Mengapa di kalangan remaja yang terlibat dalam pergaulan yang lepas bebas menghubungkannya sebagai hak asasi? Mengapa para remaja yang terjebak dengan salahguna dadah merasakan bahawa pemikiran fantasinya diraikan, kelazatan terhadap sesuatu dirasakan tanpa memikirkan akibat perbuatan tersebut?
Ia menunjukkan dengan membina persepsi hasil rangsangan nafsu dan keinginan tidak memadai. Ia perlu diimbangi dengan asas ilmu yang menjadi sumber petunjuk supaya persepsi yang diperkukuhkan dengan ilmu dan kesedaran bakal membimbing remaja ke jalan yang benar.
Inilah asas yang ditawarkan oleh Islam kepada remaja dalam membina persepsi akal dan pemikiran. Islam mengemukakan pendekatan sebab-akibat dalam berfikir. Islam juga menganjurkan pendekatan mencegah dilihat sebagai sesuatu yang utama dari mengubati. Islam juga melihat bahawa akibat perbuatan dan tindakan manusia yang buruk ia memberi kesan kepada orang lain.
Oleh itu, persepsi akal remaja dalam proses berfikir mestilah;
Pertama, dipandu oleh ilmu yang benar yang bersandarkan nilai dan etika. Kedua, menjadikan faktor tersurat dan tersirat sebagai pedoman yang menjadikan persepsi sebagai asas kefahaman yang lebih tuntas. Ketiga, pengalaman remaja yang ada masih terbatas. Ia menuntut pengalaman berbanding yang diteropong dari sudut mata hati supaya ia terkandung saripati yang lebih bermakna. Keempat, persepsi awal dalam proses berfikir harus dilanjutkan dengan perasaan sangka baik, keikhlasan dan kejujuran untuk mencari kebenaran.
Asas-asas ini penting supaya persepsi remaja tentang sesuatu hasil adanya proses berfikir menjadi kukuh dan utuh supaya ia bakal menghasilkan idea yang bernas dan bermutu dan memberi kebaikan dalam kehidupan.
Hasilnya, para remaja akan memiliki disiplin berfikir yang baik dan menyebabkan natijah pemikirannya memberi manfaat kepada dirinya dan juga orang lain. Persepsi akliah yang dipedoman oleh sumber-sumber nakliah akan menjadi pemikiran remaja lebih mantap dan bertenaga.
Pedoman inilah yang perlu dicari oleh para remaja supaya remaja menginsafi bahawa lahirnya ke dunia bermaksud, kehidupannya berhala tuju, kerenah manusia didekati dengan sabar dan bijaksana. Akhirnya remaja akan terbimbing menjadi orang yang berguna dan kehadirannya menyumbang.
- DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Okt. 2006
No comments:
Post a Comment