Ketika anda sedang mengendalikan komputer peribadi (PC), kadangkala timbul masalah yang melibatkan perkakasannya. Masalah ini mungkin berpunca daripada kerosakan "driver" perkakasan tersebut. Jika tidak rosak sekalipun, anda mungkin ingin mengemaskini "driver" lama dengan yang baru. Meskipun hal seperti ini jarang berlaku, namun pengguna baru perlu tahu cara-cara untuk menangani masalah berkaitan "driver",
Sebelum itu, adalah lebih baik jika anda memahami apa yang dimaksudkan dengan "driver". Sebenarnya, "driver" merupakan fail-fail perisian dalam sistem berasaskan Windows yang mengawal peranti dalaman atau luaran, seperti modem, kad video, pengimbas atau pencetak, Windows menggunakan "driver" untuk membantu sistem tersebut berkomunikasi dengan peranti-peranti yang dipasang dan dihubungkan padanya.
Versi Windows yang dikeluarkan setakat ini (Win 95 / 98 / ME/XF/NT/2000) tampil dengan "driver" binaan dalam. "Driver" tertentu selalunya dipasang secara automatik apabila peranti baru ditambah, tetapi dengan syarat "driver" tersebut tersedia dalam koleksi Windows. Kadangkala sistem tidak mengenali "driver" baru dan anda perlu memasang "drivernya" secara manual dari disket atau cakera padat (CD) atau dari Internet.
Kadangkala lebih baik jika anda menggunakan "driver" yang telah disediakan pembuat peranti berbanding menggunakan "driver" yang sedia terbina dalam Windows. Ini kerana, "driver" pembuat peranti biasanya lebih terkini dan ditulis dengan baik. Selain itu, anda mungkin perlu mengemaskini "driver" jika peranti itu gagal berfungsi dengan baik. Kegagalan ini boleh disebabkan oleh pepijat yang ada pada "driver" tersebut.
Sebelum mengemaskini mana-mana "driver", anda perlu mendapatkan failnya daripada tapak Web tertentu. Kebanyakan pembuat peralatan menyediakan khidmat dan sokongan pelanggan di tapak Web mereka yang turut menyediakan fail-fail "driver". Selain di dalam talian, "driver" juga boleh dibekalkan bersama peranti melalui disket atau cakera padat (CD). Bagaimanapun, versi terkini selalunya ada di tapak Web pembuat.
Jika ingin mencari "driver" dalam talian, tapak Web berikut boleh dikunjungi: www. driverguide.com atau www.windrivers. corn atau www.driverzone.com atau www. drivershq.com. Sebelum memulakan pencarian, anda perlu mengenalpasti syarikat pembuat dan model peranti yang hendak dikemaskini. Maklumat peranti biasanya ada dalam manual peranti berkenaan, samada dalam bentuk bercetak atau dalam disket atau CD.
Maklumat peranti dalarnan (seperti modem dan kad video) juga boleh diketahui melalui tetingkap "System Information". Di dalam Windows XP, ia boleh diakses dengan mengklik Start, Programs, Accessories, dan System Tools. Satu senarai peranti dengan pelbagai nama kelihatan di ruang sebelah kiri. Contohnya, klik tanda campur (+) di sisi "Components", kemudian klik "Display" untuk melihat kad video yang dipasang.
Setelah nama peranti diketahui, anda boleh mencari "driver" terkini untuk peranti berkenaan di tapak Web pembuatnya. Apabila anda mengklik pada pautan (link) untuk memindah terima (download) fail "driver" tersebut, pelayar Web akan memaparkan sebuah kekotak dialog. Pada kekotak ini, klik bebutang "Save" untuk memindah terima fail "driver" dan menyimpannya ke dalam folder yang disediakan awal-awal lagi.
Dwiklik pada fail "driver" yang telah dipindah terima tadi. Fail ini akan dibuka dan mengeluarkan semua item di dalamnya. Kadangkala fail "driver" perlu diekstrak teriebih dahulu kerana ia menggunakan format Zip (ditandakan dengan sambungan .zip). Jadi, anda boleh menggunakan perisian pembuka fail Zip seperti Winzip (www. winzip.com). Bagi Windows Me dan XP,
pengurusan fail Zip sedia terbina di dalam sistem. Sekarang, tibalah masanya untuk mengemaskini "driver" yang sebenar. Mulakan langkah dengan membuka Control Panel (dalam Windows XP, klik Start, dan Control Panel). Dwiklik ikon System dan pilih menu Device Manager. Seterusnya cari peranti yang ingin dikemaskini "drivernya". Klik pada tanda campur (+) di sisi kategorinya, klik kanan pada peranti yang dipilih, kemudian klik "Properties" dan menu "Driver". Klik bebutang "Update Driver" agar kekotak dialog untuk langkah seterusnya muncul. Pilih "Display a list of drivers..." dan klik bebutang "Have Disk". Cari folder yang menempatkan fail "driver" tadi dan pilih fail ".INF" dalam folder tersebut dan klik OK. Sistem anda akan mengemaskini "driver" yang sesuai. Jika ada beberapa fail .INF, cuba setiap satu hingga berjaya. Akhir sekali, bootkan PC agar "driver" baru tadi aktif.
Kadangkala, selepas memasang "driver" baru dan mengaktifkannya, peranti anda mungkin gagal beroperasi seperti yang diharapkan. Ada kemungkinan, fail "driver" tersebut mengalami kerosakan semasa memindah terima, mengandungi "pepijat", atau tidak serasi dengan peranti anda. Jika timbul masalah seperti ini dalam Windows XP, anda boleh mengembalikan "driver" lama dengan mengklik bebutang "Roll Back Driver". Fail "driver" juga wajar disimpan (backup). Tujuannya, untuk memudahkan anda mendapatkannya semula apabila diperlukan kelak. Anda tidak perlu mencari atau memindah terima kembali "driver" tersebut jika sistem, disket atau CD yang menyimpan "driver" telah rosak. Jadi, salinannya boleh disimpan dalam storan alternatif seperti disket, CD-R/CD-RW, disket ZIP, pemacu USB flash, storan rangkaian atau akaun e-mel.
Petikan: Majalah PC
No comments:
Post a Comment