1.3.10

Tips Komputer-Simptom serangan Trojan

Menurut syarikat keselamatan Internet, program Trojan Horse tidak boleh menyalin dirinya, tetapi ia boleh memusnahkan atau mengancam keselamatan komputer pengguna. Pada dasarnya, program ini tidak boleh menghantar dirinya, tetapi individu tertentu seperti penggodam ('hacker') boleh mengirimnya melalui e-mel kepada komputer anda. Jika komputer anda mengalami gejala berikut, ada kemungkinan ia telah dijangkiti.

Banyak Trojan memiliki keupayaan membuka dan menutup dulang ('tray') CD-ROM komputer anda. Trojan seperti Netbus dan SubSeven merupakan trojan popular yang membolehkan perintah seperti ini.

Apabila anda berjaya dijangkiti Trojan, penggodam boleh menjadikan skrin komputer anda berkelip, diterbalikkan ke bawah, atau tunggang-langgang supaya apa sahaja yang dipaparkan menjadi terbalik.

Penggodam yang menggodam secara terang-terangan mungkin mampu mengubah latar 'desktop' atau 'wallpaper' yang telah anda tetapkan. Ini biasanya boleh dilakukan dengan menggunakan gambar yang ditemui pada komputer anda atau yang dipindahkan ('upload') oleh penggodam kepada komputer anda.

Jika penggodam memiliki capaian penuh terhadap komputer anda, mereka boleh mengakses pencetak anda dan mencetak mesej-mesej peribadinya atau mencetak dokumen yang ditemui dalam folder anda.

Trojan juga membolehkan penggodam untuk melancarkan atau menggunakan pelayar Web dan pergi ke mana-mana laman Web yang mereka pilih sedari awal - penggodam menentukan laman tersebut.

Trojan yang berjaya menjangkiti komputer pengguna membolehkan penggodam mengubah ketetapan warna Windows. Mereka mungkin menukarkan warna itu menjadi sebarang warna yang mereka pilih.

Penggodam boleh menetapkan 'screen saver' anda agar menayangkan mesej peribadinya kepada anda.

Penggodam boleh menukarkan fungsi bebutang tetikus. Contohnya, dengan mengklik bebutang kanan akan memaparkan apa yang boleh dilakukan dengan mengklik bebutang kiri dan begitulah sebaliknya.

Kadangkala tetikus dimatikan terus. Apabila ini berlaku, ikon 'anak panah' tetikus boleh lenyap terus.

Penggodam boleh mengawal penunjuk tetikus anda. Contohnya mereka boleh mengklik pada ikon dan memulakan program tertentu seolah-olah mereka duduk di atas kerusi yang berdepan komputer anda.

Penggodam boleh mengubah konfigurasi tetikus anda agar ia meninggalkan jejak apabila digerakkan.

Jika anda mempunyai mikrofon yang sedang dihubungkan kepada komputer anda, maka penggodam boleh merekod dan mendengar apa yang berlaku di dalam bilik anda. Kadangkala, penggodam mampu untuk memainkan kembali fail-fail bunyi apabila mereka mengetahui anda berada dalam bilik tersebut.

Kadangkala penggodam mampu menggerakkan pelaras bunyi (volume) untuk menarik perhatian anda.

Penggodam boleh menjadikan bebutang Start Windows anda tersembunyi dari pandangan mata anda.

Apabila telah dijangkiti Trojan, penggodam boleh mematikan atau memulakan program pada komputer anda. Selalunya perisian anti-virus akan dikeluarkan, kemudian komponennya diubah atau dipadam.

Sesetengah Trojan mengizinkan penggodam menaipkan apa yang mereka hendak perkatakan kepada anda melalui kekotak, kemudian menjadikan komputer itu seperti 'bercakap' dengan anda. Jika kamera Web dan mikrofon turut digunakan, mereka mungkin boleh melihat gelagat dan mendengar suara anda.

Anda jangan terkejut, jika ada penggodam yang boleh mengarahkan komputer anda agar memberitahu kandungan teks di dalam 'clipboard' anda dan menyisipkan teks baru/lain ke dalam clipboard tersebut.

Trojan boleh mengizinkan penggodam menampilkan kekotak sembang - warna hitam, bersegi empat - pada ketika di mana anda tidak boleh berbuat apa-apa melainkan menaip ke dalam kekotak tersebut. Penggodam mungkin membalasnya kembali, atau sekadar membiarkan kekotak itu untuk menghalang anda daripada mengakses program komputer dan memperkecilkan tindakan yang anda cuba lakukan.

Komputer anda mungkin menghasilkan kekotak amaran atau soalan asing. Selalunya, ini berupa mesej peribadi yang ditujukan kepada anda dan pertanyaan dengan pilihan Yes atau No atau OK untuk diklik.

Anda mungkin pernah menerima aduan daripada pihak ISP (pembekal yang menyediakan perkhimatan Internet) yang mendakwa bahawa komputer anda mengalami pengimbasan IP (Internet Protocol). Jadi, penggodam boleh menggunakan komputer anda untuk menyerang, menghantar e-mel atau mengimbas komputer lain yang dijangkiti. Kemudiannya, anda barangkali menerima e-mel dari pembekal khidmat Internet yang mengingatkan anda bahawa akaun anda akan dimatikan jika aktiviti tersebut diteruskan.

Penggodam boleh memperolehi maklumat peribadi mengenai diri anda dengan membaca dokumen-dokumen tertentu pada komputer anda seperti resume, rekod kewangan, surat peribadi, dan sebagainya. Ketika berbual dengan anda, penggodam itu mungkin memberitahu anda bahawa mereka mengetahui alamat rumah anda, nombor telefon anda, nama anak-anak anda, atau maklumat lain sebagai cubaan untuk mendapatkan penghormatan atau sekadar menakutkan anda dengan beberapa cara. Penggodam secara terang-terangan mungkin cenderung menyebabkan beberapa kerosakan apabila mereka selesai 'mempermainkan' anda. Jadi pastikan komputer anda menggunakan perisian penghalang yang sesuai dan mengubah semua kata laluan, bagi menghalang mereka mengakses komputer anda di masa depan.

Apabila komputer dijangkiti Trojan, penggodam bukan sahaja boleh melihat apa yang anda taipkan, malah setiap mesej yang dihantar menerusi program ICQ, IRC, AIM dan Yahoo Pager. Jika seseorang bercakap dengan anda seperti tahu apa yang anda perkatakan dengan pengguna lain secara persendirian atau sulit ketika menggunakan satu daripada program sembang di atas, maka anda mungkin dijangkiti.

Sekiranya anda menghubungkan kamera Web, penggodam mungkin mampu 'menghidupkannya' tanpa anda sedari dan memantau aktiviti anda dan melihat benda-benda yang menjadi latar kamera Web itu.

Penggodam juga boleh mengubah masa dan tarikh pada komputer anda mengikut kehendak mereka. Selalunya ia dilakukan untuk menarik perhatian anda dan mengubahnya agar menjadi ekstrim. Mereka mungkin mahu menarik perhatian anda agar merujuk ketetapan masa atau tarikh pada komputer anda.

Penggodam juga boleh mengubah ketetapan pembesar suara komputer anda agar dibuka atau ditutup.

Jika komputer anda dijangkiti Trojan, maka penggodam juga boleh menyebabkan komputer dimatikan.

Selain mematikan komputer, penggodam boleh melenyapkan bahagian 'taskbar' dari pandangan mata. www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment